BHEP UiTM Semarak Kayuhan Santai Merdeka 65

BHEP UiTM Semarak Kayuhan Santai Merdeka 65

26 Ogos 2022 – Shah Alam, Menjelang bulan kemerdekaan, pastinya semua rakyat Malaysia akan meraikan dengan pelbagai cara dalam mengenang jasa-jasa pejuang negara untuk memastikan kita bebas penjajah hingga kini. Tidak ketinggalan, Bahagian Hal Ehwal Pelajar Universiti Teknologi MARA (BHEP UiTM) dan Majlis Pengetua dengan kerjasama PEWANI, MITASA, KOSISWA & Jabatan Penerangan Negeri Selangor menganjurkan Program Kayuhan Santai Merdeka 65 sempena Bulan Kemerdekaan 2022. Program dilaksanakan bertujuan menggalakkan penyertaan dalam aktiviti yang bukan sahaja dapat memupuk gaya hidup sihat, bahkan juga dapat meningkatkan kecerdasan minda setiap warga UiTM khusunya BHEP UiTM di samping memupuk semangat berpasukan dalam diri peserta sekaligus melahirkan warga BHEP UiTM yang lebih bertanggungjawab dan prihatin.

Program anjuran kali kedua ini telah mendapat penyertaan seramai 120 peserta BHEP UiTM di mana 80 peserta berbasikal, 20 peserta berkereta, 20 peserta bermotorsikal diiringi oleh satu MPV Polis Bantuan (PB) UiTM, dua Motorsikal Trafik PB UiTM, satu Hilux PB UiTM, dua buah kenderaan dari Jabatan Penerangan Negeri Selangor, dan satu Ambulans dari Pusat Kesihatan UiTM. Di samping kempen kayuhan basikal sempena kemerdekaan ini, beberapa kategori pertandingan juga telah dianjurkan seperti Anugerah Basikal Berhias Kemerdekaan Terbaik, Anugerah Peserta Paling Punctual, Anugerah Peserta Paling Semangat, Anugerah Peserta Paling Perlahan, dan Anugerah Peserta Paling Menonjol. Tiga pemenang bagi Anugerah Basikal Berhias Kemerdekaan Terbaik akan menerima wang saguhati yang ditaja oleh Jabatan Penerangan Negeri Selangor sewaktu Kemuncak Bulan Kemerdekaan yang akan diadakan pada 30 Ogos 2022 ini.

Kayuhan Santai Merdeka ini telah dirasmikan oleh YBhg. Prof. Dr. Haji Mohd Sazili Shahibi selaku Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar (TNC HEP) bertempat di Dataran Kolej Mawar, UiTM Shah Alam. Turut hadir bersama, YBrs. Cik Nurul Wardina Abdullah selaku Penolong Pengarah Jabatan Penerangan Cawangan Selangor, YBrs. Dr. Normaly Kamal Ismail selaku Bendahari MITASA, YBrs. Encik Muhamad Aidil Tasnim Roslan selaku Ahli Lembaga Pengarah KOSISWA, YBrs. Encik Hisyam Che Mat selaku Pengerusi Jawatankuasa Program, YBrs. Dr. Norhasnida Nordin selaku Pengerusi Majlis Pengetua bersama Barisan Ketua Bahagian HEP. Sejauh lima kilometer perjalanan yang telah dirancang oleh pihak penganjur dalam menjayakan program ini dan 120 peserta berjaya tiba di lokasi penamat dengan sambutan urusetia dan jemputan.

Warga UiTM yang unggul hanya dapat dilahirkan sekiranya kita dapat mengamalkan gaya hidup berteraskan kepada keseimbangan dan kesepaduan dari aspek intelek, jasmani, rohani, emosi dan social. Sebagai perasmi program, YBhg. Prof. TNC HEP berharap program-program menyemarakkan bulan kemerdekaan seumpama ini dapat terus diadakan pada masa akan datang. Ini kerana, kita sedar bahawa program sebegini amat penting bukan sahaja untuk mengingatkan kita tentang sejarah kemerdekaan negara bahkan ia juga dapat memupuk kesedaran dan semangat patriotisme dalam kalangan warga UiTM khusunya warga BHEP UiTM. Dalam keadaan dunia yang semakin mencabar hari ini, semangat patriotism serta cintakan bangsa dan negara adalah amat penting demi menjamin kestabilan dan masa depan negara yang mapan dan lebih kukuh.