Bahagian Hal Ehwal Pelajar UiTM Lafaz Ikrar Bebas Rasuah

SHAH ALAM, 13 DISEMBER 2022 – Ikrar Bebas Rasuah (IBR) merupakan satu inisiatif yang telah dibuat oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang bertujuan memberi penekanan dan meningkatkan iltizam untuk semua menjauhi penyalahgunaan kuasa khususnya rasuah. Ianya telah dilaksanakan di pelbagai kementerian, jabatan dan agensi di seluruh negara. IBR ini memberikan penekanan kepada ikrar dan janji yang dibuat oleh para kepimpinan organisasi dan warganya secara sukarela agar sentiasa komited dan bertanggungjawab di dalam tugas seharian. Integriti merupakan sesuatu sikap yang sewajarnya wujud sama ada dalam individu ataupun organisasi sekali gus turut dapat dikaitkan dengan etika iaitu merupakan nilai dan moral yang menjadi piawai bagi sesuatu profesion.

 

Bahagian Hal Ehwal Pelajar (BHEP) UiTM dengan kerjasama Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Negeri Selangor dan Unit Integriti Universiti Teknologi MARA telah melaksanakan Lafaz Ikrar Bebas Rasuah bertempat di Dewan Seroja 2, Kolej Seroja UiTM Shah Alam yang melibatkan 250 staf BHEP UiTM. BHEP UiTM mempunyai 14 Pejabat, Institut, Pusat, Unit dan 8 kolej kediaman di bawah seliaan pejabat Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar. Ini secara tidak langsung boleh mendedahkan staf kepada salah laku rasuah. Oleh itu, IBR melalui lafaz ikrar integriti ini akan dapat meningkatkan lagi semangat dalam diri warga UiTM untuk terus bersatu dan bekerjasama dalam memajukan lagi UiTM di persada dunia selaras dengan visi dan misi UiTM.

 

Majlis telah disempurnakan oleh Yang Berbahagia, Prof. Dr. Haji Mohd Sazili Shahibi selaku Timbalan Naib Canselor UiTM. Kata beliau, Agama Islam juga turut menggalakkan umatnya supaya bersikap amanah, jujur, muhibbah dan kasih sayang dalam bekerja selagi tidak melanggar hukum hakam syarak agar membentuk pekerja yang berjaya dan bertaqwa. Turut hadir sewaktu ikrar dilafazkan, Yang Berbahagia Dato’ Haji Alias Salim selaku Pengarah SPRM Cawangan Selangor dan Encik Mohd Hafiz Ramlee, Ketua Unit Integriti UiTM. Selesai lafaz ikrar dilaksanakan, majlis diteruskan dengan penurunan tandatangan YBhg. Prof. TNC HEP disaksikan oleh YBhg. Dato’ Pengarah SPRM bagi mengikat janji menyokong membanteras jenayah rasuah di kalangan warga BHEP UiTM. YBhg. Dato’ Pengarah juga mengucapkan tahniah kerana BHEP UiTM juga antara jabatan terawal di dalam UiTM yang melaksanakan lafaz Ikrar Bebas Rasuah (IBR).

 

Harapan YBhg. Prof. TNC HEP agar semua warga BHEP dapat mencari rezeki yang halal lagi diberkati dan sentiasa bersyukur dengan rezeki yang diterima. Bekerjalah bersungguh – sungguh dan berusaha memajukan diri dengan kudrat sendiri. Ia perlu bermula dalam diri masing-masing untuk membentuk menjadi seorang individu yang berintegriti, walaupun perkara ini bukan suatu perkara yang mudah. Justeru, kefahaman, penghayatan dan kesedaran kepada nilai positif perlu diterapkan supaya konteks integriti dapat difahami secara keseluruhannya. Ini sekali gus membantu menangani isu berkaitan integriti seperti rasuah, penyelewengan kuasa, pecah amanah dan penipuan.