Sukarelawan UiTM Perkasa Misi Cakna OKU

21 Ogos 2022 – Shah Alam, Umum mengetahui bahawa terdapat beberapa jenis Orang Kurang Upaya (OKU) seperti Kurang Upaya Pendengaran, Kurang Upaya Penglihatan, Kurang Upaya Fizikal, Masalah Pembelajaran, Kurang Upaya Pertuturan, Kurang Upaya Mental, dan Kurang Upaya Pelbagai. Namun, masyarakat kini hanya mengetahui tentang fakta-fakta ini tetapi hanya segelintir yang cakna akan OKU. Bahagian Hal Ehwal Pelajar Universiti Teknologi MARA (BHEP UiTM) dengan kerjasama Unit Perkhidmatan OKU UiTM, Fakulti Pendidikan UiTM, Malaysia Federation of the Deaf (MFD) dan Pertubuhan Shah Alam Bersatu OKU (Pekak) telah menganjurkan program sukarelawan UiTM CSR Project bertemakan “Society and Us”.

Program yang telah berlangsung di Seksyen 7 Shah Alam ini secara tidak langsung telah melibatkan lebih 100 mahasiswa dan staf sukarelawan UiTM untuk bersama warga B40 sekitar Shah Alam dalam menjayakan kempen kesedaran cakna OKU. Program ini berlangsung sempena Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia yang telah ditaja sepenuhnya sebanyak RM17, 280.00 oleh Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) dan penaja bersama iaitu Syarikat Minuman Alla Fonte dengan membawa matlamat memberikan nilai tambah serta pengalaman kepada warga UiTM dalam melakukan aktiviti khidmat masyarakat yang dapat memberi manfaat kepada individu dan masyarakat khususnya tentang kesedaran individu kurang upaya (OKU) di samping memberikan sumbangan dalam bentuk tenaga serta kemahiran secara berkumpulan kepada komuniti B40 dalam mencapai Matlamat Pembangunan Mampan (SDG).

 

Program telah dihadiri oleh YBrs. Puan Normalia Ibrahim selaku Timbalan Setiausaha Bahagian Perancangan dan Penyelidikan Dasar (BPPD) Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) bersama YBrs. Prof. Madya Dr. Azman Yahaya selaku Pengarah Pusat Kokurikulum UiTM Shah Alam tidak ketinggalan barisan Jawatankuasa Penduduk sekitar Seksyen 7. Pelbagai aktiviti kesedaran OKU yang telah dijalankan seperti Forum Inspirasi OKU, Bengkel Bahasa Isyarat, Kuiz Cakna OKU dan banyak lagi untuk menerapkan nilai kesedaran tentang kepentingan cakna akan OKU kepada warga UiTM dan komuniti. Bagi memudahkan komuniti Kurang Upaya Pendengaran yang hadir untuk bersama di dalam program, kehadiran wakil Jurubahasa Isyarat dari MFD telah membantu komuniti tersebut dengan bahasa isyarat yang diaplikasikan sepanjang program berlangsung.

 

Tidak ketinggalan, sebagai penutup majlis, sempena kedatangan bulan kemerdekaan tahun ini, BHEP UiTM mengambil kesempatan bersama warga penduduk dan sukarelawan UiTM untuk sama-sama menyanyikan lagu patriotik dan mengibarkan jalur gemilang dengan bersemangat. Bahang bulan kemerdekaan semakin dirasai, semua peserta dan sukarelawan mengibarkan jalur gemilang dengan sepenuh hati bersama barisan jemputan yang turut hadir. UiTM sentiasa proaktif dalam melaksanakan program berbentuk sukarelawan tidak mengira masa, tempat dan apa jua halangan. Simpati dan empati dalam menjaga kebajikan itu penting bagi memastikan kesejahteraan sesama masyarakat dapat terus dipelihara dengan harmoni dan berkekalan.